Sahl International Signs MOU with Philippine Government to Develop Halal Industry

From BERITA HARIAN; 7 Jul 2012
MOU tiga pihak bagi bangunkan pasaran halal di Filipina
Oleh
ROSEBI MOHD SAH


FIRMA runding cara halal setempat, Sahl International Pte Ltd, baru-baru ini telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan badan pengiktirafan halal Filipina, serta pertubuhan sijil halal Amerika Syarikat bagi membangunkan industri halal di Filipina.

MOU yang dimeterai di Quezon City Isnin lalu itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sahl International, Encik Shahlan Hairalah; Setiausaha Suruhanjaya Nasional bagi Filipino Muslim (NCMF), Encik Mehol K. Sadain; serta Majlis Makanan dan Khasiat Islam Amerika (Ifanca), Dr Mohammad Munir Chaudry.

MOU antara NCMF, Ifanca dan Sahl International itu bertujuan meningkatkan lagi kerjasama dan keupayaan dalam pelbagai kegiatan halal di Filipina, sejajar dengan program-program penyelarasan NCMF.

“Industri halal di Filipina kini dilihat sebagai bidang yang sangat penting bagi pertumbuhan Islam di negara kami. Sasaran kami sebagai orang Muslim di negara ini adalah menjadikan makanan dan gaya hidup kami halal,” kata Encik Sadain.

Semasa dihubungi semalam, Encik Shahlan, yang juga mantan ketua Jabatan Halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), berkata MOU yang berkuatkuasa selama lima tahun itu akan memberi syarikatnya beberapa peranan bagi mengukuhkan lagi beberapa aspek halal di Filipina.

“Peranan kami dalam MOU itu ialah meneroka dan berusaha bagaimana kami dapat menawarkan khidmat halal dalam beberapa bidang seperti penyelidikan dan pengembangan (R&D), latihan serta persediaan bagi mendapatkan sijil halal, pentauliahan, dan memasarkan produk-produk dan makanan halal ke pasaran halal di dalam dan luar Filipina,” ujarnya.

Beliau berkata masyarakat Islam di Filipina dan NCMF akan meraih faedah daripada MOU itu.

“Filipina merupakan pengeksport utama banyak barangan mentah termasuk pelbagai produk makanan dan minuman. Mereka juga ingin mengeksport barangan mereka ke pasaran negara-negara halal, di samping mengimport pelbagai barangan halal dari luar negara bagi penggunaan masyarakat Islam setempat.

“Justeru, kerjasama tiga pihak ini akan membantu meningkatkan lagi keupayaan kegiatan-kegiatan dalam pasaran halal seperti pensijilan halal, memastikan kesahihan sijil halal serta kehalalan produk-produk yang dibawa masuk dan pelbagai aspek lagi yang bersangkutan dengan soal halal. Umumnya, ia bertujuan membantu industri halal di Filipina pada masa depan,” jelas pemilik Sahl International itu yang syarikatnya terletak di Jalan Pisang.

Encik Shahlan dan kakitangannya akan ke Quezon City, Filipina, jika terdapat permintaan daripada NCMF untuk membantu dalam aspek-aspek halal yang menjadi tukikan syarikat itu.

Ifanca pula, yang berpangkalan di Chicago, Amerika, adalah pertubuhan pensijilan halal yang terbesar di dunia dan akan membantu dalam soal pengeluaran sijil halal serta meluluskan kehalalan sebenar produk-produk yang dikatakan halal, tambahnya.

Email this Page to a Friend | Contact Us